TIMBALAN Pengerusi Umno Perlis Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menyeru kepada semua pihak untuk menghentikan tindakan takfiri iaitu mengkafir dan menyesatkan kumpulan yang tidak sealiran pemikiran dengan pihak tertentu.
Ketua Umno Bahagian Kangar itu turut menggesa perbuatan ekstremisme politik seperti penularan gambar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang ditulis perkataan kafir dengan tulisan jawi di bahagian dahi dihentikan.
Gambar itu dimuat naik di laman Facebook seorang pengguna bernama Kamarul Aripin Lamin yang mengatakan tidak keterlaluan jika dikafirkan Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian kerana menyeru orang Umno dan Melayu undi DAP.
Menurut Fathul Bari, tindakan itu adalah pemikiran takfiri dan ekstremisme yang beliau tentangi selama ini.
“Saya tidak ingin menunding jari ke mana-mana parti politik kerana kita tidak pasti siapa yg melakukan perkara ini.
“Hentikan takfiri, hentikan ekstremisme, hentikan penjualan syurga neraka dan hentikan penjualan agama demi meraih undi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sementara itu Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, pula berpendapat perbuatan berkenaan tidak boleh diterima dan tidak lagi diperlukan di dalam masyarakat negara ini.
“Menghina orang lain, tidak menjadikan kita lebih mulia di sisi Allah. Saya percaya kini rakyat mampu menilai pemimpin yang bagaimana mereka perlukan untuk menjadi pemimpin,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan Pemuda Umno akan membuat laporan polis atas tindakan melampau dan kurang ajar itu.
“Rakyat kini memerlukan politik yang matang dan progresif untuk membantu rakyat, bukannya pelampau-pelampau seperti ini,” katanya.
Baru-baru ini, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan, meminta pengundi Umno yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi mengundi calon DAP demi mengukuhkan kedudukan kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost