JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini kian buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat menjadi 1,703 orang melibatkan 469 keluarga setakat pukul 8 malam ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, hingga kini sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah yang terjejas, iaitu Segamat, Kluang dan Kota Tinggi.

“Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan lapan PPS dibuka bagi menempatkan 1,229 penduduk yang terdiri daripada 345 keluarga.

“Penduduk yang dipindahkan itu dari Kampung Pekan Air Panas, Kampung Sungai Gatom, Labis; Kampung Paya Merah, Segamat Kecil, Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Tenang, Kampung Lembah Bakti dan Kampung Usaha Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Kluang, mangsa banjir meningkat menjadi 300 orang daripada 84 keluarga dari Kampung Bentong, Kampung GSA Chamek, Kampung Tengah Dalam dan Kampung Muhibbah, Paloh yang baru dipindahkan antara pukul 2 hingga 4.30 petang tadi.

“Mereka dipindahkan ke PPS di Balai Raya Kampung Bentong, Balai Raya Kampung GSA Chamek, Sekolah Agama Sri Tengah dan Balai Raya Kampung Muhibbah. Mangsa selebihnya dari kawasan Perumahan SPKR Yap Tau Sah dan Kampung Palembang.

“Mereka tempatkan di PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJCK) Ping Ming dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana sejak pukul 11 pagi tadi,” tambahnya.

Kota Tinggi merekodkan seramai 174 mangsa daripada 40 keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas dan Taman Desaru Utama yang dipindahkan ke Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Taman Desaru Utama.

Dalam pada itu itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing menutup Jalan Jemaluang-Batu Pahat bagi semua jenis kenderaan selepas laluan berkenaan ditenggelami banjir setinggi 0.75 meter.

JKR turut menutup laluan di Kilometer 150 hingga 150.30 Jalan Senai-Seremban, iaitu melibatkan laluan dari persimpangan Maokil hingga pekan Labis kepada semua kenderaan berikutan air banjir naik secara mendadak di jalan tersebut.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkaitan Monsun Timur Laut, Johor antara yang berada dalam amaran bahaya dan buruk hingga esok. – UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *