Kerajaan Perlu Perkasakan Penguat Kuasaan Undang-Undang Bukannya Lepas Tangan Kepada Rakyat Nak Makan Daging Atau Tidak Susulan Daging Import.
Umat Islam dituntut supaya mencari yang halal. Mencari yang halal itu adalah wajib. Maknanya umat Islam diarah mencari makanan dan minuman carilah yang benar-benar halal lagi baik, yakni suci, bersih dan berkhasiat.
Begitu juga untuk mencari dan memilih restoran, kedai makan dan gerai makan carilah dan pilihlah yang benar-benar dijamin halalnya, bersih, kemas dan menyenangkan selera. Ini selaras dengan anjuran Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap orang Islam”. (HR Ibnu Abdil-Barr)
Kebanyakan umat Islam menjadi masyarakat pengguna bukan menjadi masyarakat pengeluar. Inilah satu cabaran besar kepada kita dalam menghadapi isu makanan dan barangan harian.
Perkara sedemikian menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam menghasil dan mengeluarkan bahan makanan dan gunaan serta perkhidmatan untuk kegunaan harian kerana ini akan lebih menjamin kehalalan dan kesuciannya.
Hari ini, umat Islam diuji dengan lambakan produk khususnya makanan keluaran syarikat bukan Islam yang diragui status halal serta kaedah pemprosesannya.
Malangnya, umat Islam tanpa rasa bersalah membeli dan menggunakannya seisi keluarga yang kesannya menyebabkan aliran tunai umat Islam masuk ke poket mereka yang tidak sepatutnya selain darah daging kita turut dibentuk daripada makanan dan minuman berunsur syubhah.
Manakala kuasa membeli umat Islam sangat tinggi. Bahkan, ia banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara.
Sepatutnya kerajaan di bawah JAKIM memperkasa penguatkuasaan makanan halal, bukannya menyerahkan kepada rakyat buat pilihan sendiri untuk elak makan daging import seperti yang di katakan oleh menteri di jabatan perdana menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkefli Mohamad Al-bakri.
Ia ibarat melepas tangan kepada rakyat, seperti ia bukannya tanggungjawab kerajaan. Sedangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku badan Kerajaan yang memberi fokus kepada aspek penguatkuasaan undang-undang berkaitan halal.
Badan ini diberikan amanah sebagai badan pengawal piawaian halal semenjak Ogos 2009. Penglibatan JAKIM dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula sejak 1974.
Berikutan perkembangan pesat industri makanan di negara ini dan keperluan semasa umat Islam, maka berlaku pelbagai perubahan polisi dan dasar tentang fungsi dan bidang kuasa penguatkuasa halal.
Ustaz Asri Talib
Ketua Biro Hal Ehwal Syariah
Amanah Wilayah Persekutuan
016-2507539 – 1 Januari 2021