“API DALAM SEKAM” GERAK KERJA UMNO-DAP SEIRING MELALUI SAYAPNYA

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa difitnah berhubung arahan kepada pimpinan UMNO supaya menjemput wakil DAP bersama dalam program parti itu, ia selepas langkah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad membawa bersama pemimpin DAP dalam satu lawatannya baru-baru ini.

Pada 13 Mei baru-baru ini, Noraini memuat naik gambar dalam akaun Facebooknya bersama Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming melawat seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dakwaan tersebut disokong oleh Exco Wanita UMNO, Datuk Shamsiah Mohd Yassin yang memaklumkan Zahid juga telah mendekati Wanita UMNO bagi memujuk mereka supaya menyokong Anwar.

Sementara itu, dalam perbualan Whatsapp mereka, seorang ahli dalam kumpulan itu memuji Noraini selepas program bersama wakil DAP tersebut, sementara seorang lagi memberitahu Presiden (Zahid) mengarahkan supaya program UMNO menjemput wakil DAP bersama.

Sebelum ini pada bulan April lepas, media melaporkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa wujud gerakan mendapatkan tandatangan ahli Parlimen daripada UMNO bagi menyokong Presiden PKR sebagai perdana menteri.

Presiden UMNO juga pernah membayangkan bakal membentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Tegas Zahid, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Khabar angin juga semakin kuat kedengaran Zahid adalah perancang utama untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zahid juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Semua pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *