UMNO kini berada di bawah pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpinya kini sudah dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH), kata Tan Sri Annuar Musa.

Kenyataan Annuar itu susulan daripada isu tular yang mendakwa kenyataan media Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pendirian parti terhadap keperluan sidang Parlimen malam tadi sebagai ‘copy n paste’ daripada kenyataan Anwar.

Bekas Setiausaha Agung BN itu berkata, keadaan itu sekali gus jelas telah membelakangkan dasar Umno yang tidak menyokong Anwar dan DAP.

“Ini jelas membelakangi dasar parti tidak menyokong Anwar dan DAP selepas tersebar surat sokongan dan ikrar setia Presiden Umno kepada Anwar yang disembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kenyataan media ini merupakan satu lagi bukti pimpinan Umno kini berada di bawah pengaruh Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Keterah itu berkata, apa yang paling dikesali perkara itu terjadi selepas baru 24 jam Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya memutuskan mengekalkan dasar tidak menyokong atau bersama PKR dan DAP.

“Sekarang jelaslah, bahawa segala keputusan parti tidak lagi di patuhi dan parti cuba terus diheret untuk menjayakan agenda peribadi.

“Ahli dan akar umbi dipersendakan pemimpin. Hasrat ahli ingin melihat semangat kesatuan parti parti berteraskan perpaduan Melayu semakin kabur.

“Peranan umno memperkasa muafakat bersama PAS semakin renggang. Sedikit demi sedikit Umno di heret ke arah Anwar dan DAP.

“Kita semakin jauh dari aspirasi rakyat, terutama Orang Melayu dan Umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar mengulangi pendiriannya yang tetap berpegang teguh kepada keputusan parti iaitu tidak menyokong Anwar dan bersama DAP.

“Saya juga tetap mempertahankan dasar dan peranan umno adalah utk menyatupadukan orang Melayu dan Umat Islam. Saya masih utuh mendokong setiap ayat dalam piagam MN dan nota persefahaman Umno PAS yang saya turut terlibat menggubal dan membuat peristiharannya,” katanya.

Malam tadi, selepas BN merayu agar Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan segera, rayuan sama turut dibuat kepimpinan PH.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Ahli Dewan Rakyat PH menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Kenyataan Anwar dan Ahmad Zahid itu tular di media sosial sejak malam tadi dengan rata-rata menyifatkan ia seakan ‘salin dan tampal’ yang dilakukan secara pakatan bersama. 

Rujuk posting sebelum di sini:

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *