Menurut beberapa sumber, pesakit dan kakitangan hospital yang disahkan positif telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bagi rawatan lanjut.

Difahamkan terdapat wakil kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menghadiri taklimat berhubung kemungkinan berlaku penularan di hospital itu hari ini.Ketika dihubungi, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman mengesahkan program taklimat tersebut.

“Saya ambil maklum ada kes (melibatkan jururawat dan pesakit terkena Covid-19) di sana.“Sebab itu, orang kementerian tengah ke sana dan dapatkan penjelasan lanjut dengan pihak hospital Htar. Jadi saya tak boleh nak beri komen lanjut,” katanya.

Sebelum ini, sumber hospital mendedahkan, terdapat lebih 40 kakitangan Htar -termasuk doktor, jururawat dan pembantu perubatan- serta 50 pesakit positif Covid-19 sejak tiga minggu lalu.

Jelas sumber, perkara itu turut berlaku di beberapa hospital awam di Selangor.

Bagaimanapun, masih tidak jelas adakah jangkitan itu berlaku di hospital atau pesakit sudah terkesan dengan wabak tersebut sebelum ke hospital terbabit.

Hospital berdekatan Htar seperti Hospital Shah Alam, Hospital Tanjung Karang dan Hospital Banting belum lagi mengalami penularan sama seperti di Htar, jelas sumber.

Sumber turut mendakwa, penularan dalam Htar berlaku disebabkan oleh keadaan wad yang sesak.

Htar mempunyai 1,094 katil dan menerima pesakit paling ramai antara semua hospital awam di Selangor, tidak termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan dana bagi menaik taraf wad dan fasiliti perubatan di Htar.

Ini bukan kali pertama Htar mengalami penularan Covid-19.

Pada Mac lalu, dilaporkan terdapat beberapa jangkitan di Htar sehingga menyebabkan hospital terbabit mengehadkan waktu lawatan dan tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun kecuali pesakit masuk.

Langkah pencegahan itu juga dilaksanakan oleh semua hospital awam bagi membendung penularan Covid-19.

Klang kini merupakan daerah paling banyak kes Covid-19 susulan kebanyakan kluster dalam kilang di kawasan perindustrian.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *