Kajian yang dibuat baru-baru ini berhubung pilihan rakyat bagi jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-9 ternyata cacat apabila pihak yang membuat kajian itu gagal melibatkan kesemua ikon politik utama yang masih aktif pada ketika ini.
Dalam satu laporan yang dibawa oleh Utusan Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menjadi pilihan 51.5 peratus rakyat Malaysia berdasarkan kajian membabitkan hanya 608 responden menerusi platform media sosial yang tidak dinamakan.
Menurut laporan itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menduduki tangga kedua (14.8 peratus), manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya berada pada tangga ketiga (10.2 peratus).
Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilaporkan sebagai menduduki tangga keempat (9.6 peratus), mengatasi presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dikatakan menduduki tangga kelima (9.1 peratus).
Malangnya, kajian yang dibuat dilihat mengenepikan terus mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjadi pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan bakal menjadi pemain penting pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Justeru, jika ada yang ingin memilih Mahathir, mereka pasti tidak dapat berbuat demikian dan terpaksa memilih orang lain yang bukannya menjadi pilihan utama mereka.
Adalah aneh bagi mana-mana pakar penyelidik mengenepikan terus Mahathir memandangkan beliau kini merupakan pengkritik utama kerajaan pimpinan Muhyiddin dan diketahui umum sedang berjuang untuk membawa perubahan kerajaan.
Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah September lalu turut menunjukkan peningkatan jelas dalam penerimaan rakyat terhadap Mahathir berbanding Pilihan Raya Umum ke-14.
Ini memandangkan parti Warisan Sabah, yang jelas mendukung perjuangan Mahathir, menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah perolehan kerusi, jauh mengatasi UMNO yang bergantung hampir sepenuhnya kepada Najib dalam hampir semua ceramah kempen.
Sampel 608 responden yang digunakan dalam kajian ini turut tidak sesuai bagi menggambarkan aspirasi hampir 33 juta rakyat Malaysia, manakala platform media sosial merupakan platform yang paling buruk disebabkan kewujudan beribu-ribu Laskar Siber yang lazimnya diupah.
Saya masih ingat lagi ‘kajian-kajian’ di media sosial yang dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang menjangkakan Najib akan berjaya membawa majoriti dua per tiga buat Barisan Nasional.
Malangnya, bukan hanya platform-platform yang digunakan pro-Najib dan dibanjiri laskar siber, laporan laman Twitteraudit.com mendapati hampir 2 juta pengikut Najib sebenarnya terdiri daripada akaun-akaun palsu.
Justeru, nasihat saya kepada pihak yang membuat kajian ini adalah untuk lebih bertanggungjawab, lebih berhati-hati dan lebih professional, di samping memaparkan instrumen yang digunakan dan pertimbangan-pertimbangan yang dibuat apabila memilih responden.
Raggie Jessy Rithaudeen