Dalam keterujaan menyambut pembukaan semula sesi persekolahan pada tahun ini bertukar
menjadi malap malah diselaputi dengan rasa ketakutan.

Ini adalah berikutan kenyataan
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin sebelum ini yang mengumumkan bahawa
kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dibuka
pada 20 Januari 2021 mengikut takwim 2021.

Pelbagai perkara perlu dinilai kembali sebelum membuka tirai sesi persekolahan mahupun
institusi pendidikan di bawah KPM selepas penularan kes Covid-19 yang kian meningkat dan masih lagi belum menunjukkan penurunan angka tidak membimbangkan.

Kerajaan juga perlu memperhalusi langkah yang lebih efektif berikutan daripada peningkatan mendadak kes harian Covid-19 akibat daripada kebenaran pergerakan rentas daerah dan negeri semenjak 7 Disember tahun lalu.

Melihat kepada situasi jangkitan semasa, ibu-bapa juga berasa kurang berkeyakinan untuk kembali menghantar anak-anak ke sekolah. Potensi jangkitan adalah lebih tinggi kepada anak-anak yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan kenderaan persendirian bagi ibu-bapa yang bekerja.

Selain itu, pelajar yang ditempatkan di rumah transit atau pusat jagaan selepas atau sebelum waktu persekolahan juga mempunyai risiko tinggi dijangkiti kerana terdedah dengan orang terdekat yang mengambil, menghantar dan menjaga mereka dan juga ketidakpastian lokasi yang mereka telah kunjungi.

Kerajaan harus mengambil pendekatan untuk mengkaji semula atau terus menekankan
sistem pembelajaran ke arah atas talian seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Mungkin cabarannya agak besar bagi perlaksanaan tersebut seperti tidak dapat memantau kehadiran murid-murid, ketiadaan peranti elektronik serta akses internet dan sebagainya yang mungkin membebankan pihak sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar.

Namun, inilah masa yang sesuai buat kerajaan untuk memberikan perhatian penuh mengenai masalah yang dialami oleh pelajar dengan sekurang-kurangnya membekalkan atau memberikan diskaun peranti dan akses internet mengikut harga kemampuan.

Pembayaran ansuran bulanan juga boleh diberikan kepada ibu bapa pelajar bagi meringkankan beban perbelanjaan bulanan mereka.

Selain itu, penghasilan aplikasi khas yang dapat diakses oleh semua guru dan pelajar agar
setiap subjek dapat diajari dan dipelajari tanpa ketinggalan dalam sistem yang lebih seragam dan sistematik.

Jika ini mampu direalisasikan, penghantaran video pembelajaran juga dapat dilakukan dan guru-guru juga dapat menghubungi dan mengetahui status terkini pelajar.

Sementara itu, ibu-bapa juga mungkin akan menyambut baik cadangan KPM jika
pembukaan sekolah diadakan secara berperingkat khusus kepada pelajar yang akan
menghadapi peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia (STPM).

Ini adalah bagi memberikan tumpuan dan bimbingan oleh guru-guru
kepada pelajar tersebut agar dapat mengikuti kembali pembelajaran dalam situasi yang
mencabar ini sekaligus mengekalkan peratusan keputusan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Keprihatinan kerajaan khususnya KPM terhadap perkara ini amatlah diharapkan dengan
memberikan penjelasan lanjut kepada ibu-bapa tentang hala tuju pendidikan negara
sewaktu mendepani penularan Covid-19 ini.

Sekaligus, ianya dapat membantu ibu-bapa
untuk memberikan kerjasama dan bantuan pendidikan dari rumah atau sebagainya kepada anak-anak agar tidak tercicir dari pembelajaran.

Oleh: Yus Amri Mohd Yusoff
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian), Perhubungan Awam
UiTM Shah Alam

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.