Seorang lelaki yang juga anak kepada ahli politik di Sabah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini, atas pertuduhan menjual jam tangan mewah yang dicuri.

Majistret Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu terhadap Datu Anwar Datu Amirkahar, 43, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan, lapor Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan, Anwar dituduh dengan sengaja melupuskan seutas jam tangan Rolex White milik ibunya di sebuah kedai di Sinsuran, Kota Kinabalu, 2.30 petang, 29 Mei lalu.

Berikutan itu, Anwar didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga ibu tertuduh mendakwa barang yang diletakkan dalam peti besi di rumahnya di Sutera Residency, Kota Kinabalu hilang ketika diperiksa, 6 petang, 3 Jun lalu.

Berikutan itu, siasatan lanjut dilakukan dan tertuduh dipercayai sudah menjual jam tangan terbabit di sebuah kedai emas di Sinsuran dengan harga RM9,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Albert Basiri, manakala tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak diwakili peguam.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.