DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini mencipta sejarah apabila mengguna pakai istilah ‘pengimbang’ untuk merujuk kepada pihak pembangkang.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata penggunaan istilah pengimbang sejajar dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“DUN Johor mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang.

“Sebagaimana istilah pengimbang telah digunakan Machap (Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi), maka kita akan menggunakan istilah pengimbang kerana lebih sesuai, murni dan tepat dan mampu wujudkan DUN yang wibawa,” katanya pada sidang DUN Johor, hari ini.

Baru-baru ini, Sultan Johor menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai ‘Pengimbang’ berikutan peranan mereka sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

Sultan Ibrahim bertitah, gelaran ‘pembangkang’ yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

“Mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

“Saya berpendapat gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan, adalah kurang sesuai.

“Mereka bukan sahaja membangkang kerajaan sahaja, malah peranan mereka juga besar sebagai pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan,” titah baginda.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *