Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan DAP tidak akan menguasai kerajaan jika PH berjaya memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, perkara itu tidak akan berlaku kerana kerajaan PH, perdana menterinya tetap orang Melayu selain Menteri Besarnya di Perak dan Selangor juga orang Melayu.

Menurut Presiden PKR, beliau mahu memastikan apabila kerajaan PH ditubuhkan, ia adalah sebuah kerajaan lain daripada yang lain.

“Semasa saya mahu ke sini tadi, ada penyokong yang bertanya sama ada saya boleh beri jaminan jika memerintah nanti DAP tidak kuasai kerajaan.

“Saya katakan dua perkara, pertama apabila saya menjadi ketua pada 20 hari bulan ini, Insya-Allah,  kalau menang, (kerajaan) bukan Tun Mahathir tapi Anwar Ibrahim.

 “Yang kedua, kerajaan ini perdana menterinya Melayu, Yang di-Pertuan Agong Melayu,  Menteri Besarnya  Melayu, baik di Selangor mahupun di Perak, tapi kita kena bawa politik baharu iaitu  hormat dan terima rakyat pelbagai kaum sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan borang keahlian daripada bekas ahli MIC lapan cawangan di Bahagian Tambun yang menyertai PKR di sini hari ini. 

Anwar berkata, DAP merupakan rakan parti yang setia dan menerima prinsip-prinsip yang beliau perjuangkan.

Namun, kata beliau, kadangkala ada kenyataan-kenyataan daripada penyokong PKR yang lebih sikit, daripada orang DAP pun lebih sedikit tapi perkara sebegitu hanya berlaku di peringkat bawah dan pemimpin di atas akan membincangkannya dengan baik.

“Jika ada yang kata DAP ini komunis, DAP ni pelampau, DAP nak kristiankan kita, ini maknanya pemimpin bodoh. Boleh senang-senang orang nak kristiankan kita? Tak boleh,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar beliau, Anwar menyelar pemimpin parti lawan yang menuduh beliau menjadi alat kepada DAP.

“Ada pemimpin parti yang jika dia pergi kepada orang Melayu, dia kata Anwar jadi alat DAP dan DAP ini komunis. Ini kenyataan bodoh dan tidak masuk akal untuk menyerang orang dan memfitnah sebegitu rupa.

“Kita mungkin tak setuju dengan DAP tapi tidak wajar menghina mereka begitu rupa. Kalau betul mereka komunis,  saya nak tanya kenapa tak bawa usul, kenapa tak bawa laporan, biar ditangkap orang-orang komunis yang menentang Perlembagaan,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *