Abdul Hadi Awang berhujah, PAS sudah pasti boleh menguasai keseluruhan Malaysia jika benar parti itu menerima dana bernilai RM90 juta seperti didakwa sesetengah pihak.

Pada masa sama presiden PAS itu juga menganggap Umno sebagai “sangat bodoh” jika menyerahkan dana sebanyak itu.

Menegaskan penafian panjang lebarnya, presiden PAS itu berkata, partinya memang tidak ada menerima dana sebanyak itu daripada Umno.

Menurutnya ramai orang kaya tidak bersedia untuk menyumbang kepada PAS kerana mereka tidak percaya parti itu boleh menang sehingga berjaya memerintah kerajaan pusat.

“Namun, PAS boleh bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan Umno.

“Tiba-tiba, PAS mampu menawan tiga buah negeri dan berada dalam kerajaan Pusat dengan langkah mengajak Umno, Bersatu dan pihak-pihak lain bersama menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang rapuh.

“Justeru, dengan RM90 juta jika benar adanya, sudah pasti membolehkan PAS menguasai negara sepenuhnya.

“Dan jika benar, Umno yang menyogok RM90 juta sangat bodoh kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh dirinya sendiri,” katanya hari ini.

Abdul Hadi berpandangan, dengan dana yang sebanyak itu, tentulah PAS bukan saja mampu menghadapi PH malah mengalahkan Umno yang sebelum ini menguasai seluruh negara.

Tambah duta khas bertaraf menteri itu lagi jika benar PAS menerima RM90 juta daripada Umno, tentu lebih mudah untuk parti terbabit “meranapkan PH” yang didakwanya banyak berbelanja untuk media sosial.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *