SEBARANG usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah nilai Islam dan fitrah insan tidak boleh diterima sama sekali di negara ini.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan terhadap perhimpunan di hadapan Sogo baru-baru ini.

Beliau menegaskan, selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan bertentangan undang-undang dan ajaran Islam.

“Kami telah menerima laporan serta maklum balas masyarakat berkaitan perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berlaku baru-baru ini.

“JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd Naim menasihatkan semua pihak agar akur dan menghormati kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, polis akan memanggil pihak yang menyertai perhimpunan dan perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka pada 12 Mac lalu bagi membantu siasatan kerana tidak mematuhi peruntukan undang-undang.

Katanya, polis mengesan perhimpunan terbabit pada jam 10 pagi dan berdasarkan pemerhatian kira-kira 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik.

Menurutnya, mereka memegang plakad di antaranya “Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride,Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body” dan lain-lain.

Perhimpunan yang dikatakan diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa itu mendapat kritikan ramai kerana dipercayai berunsur agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *