MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memberi keyakinan bahawa kedudukan tahap keterjaminan makanan di Malaysia masih berada pada tahap stabil.
Bagaimanapun katanya, Malaysia mesti berusaha untuk meningkatkan lagi tahap sara diri (SSL) negara berada pada tahap yang lebih selesa.
“Saya berharap kita semua mesti bekerja keras menambah bekalan makanan dalam negara supaya kita tidak lagi perlu bergantung kepada produk import,” katanya menerusi Facebook.
Justeru, Mohamad meminta kakitangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) tidak menyalahkan rakyat susulan kemarahan mereka terhadap peningkatan harga makanan.
“Kita tidak boleh salahkan rakyat jika mereka marah harga makanan meningkatkan. Kita mesti dengar dan segera cari jalan untuk kurangkan beban yang ditanggung,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan isu kekurangan bekalan minyak masak paket dan telur masih belum menemui titik penyelesaian apabila bahan mentah itu masih sukar diperoleh.
Rata-rata peniaga yang ditemui di sekitar Lembah Klang mengeluh kerana perniagaan mereka terganggu berikutan kekurangan bekalan itu di pasaran.
Justeru, peniaga makanan itu mengakui mereka tiada pilihan lain dan terpaksa memindahkan beban harga itu kepada pelanggan.