GERAKAN Tanah Air (GTA) menyifatkan penyertaan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai ‘underdog’.

Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, meskipun ‘underdog’, GTA memberi amaran kepada lawan jangan memandang rendah keupayaan mereka pada PRU15 ini.

GTA melangkah sebagai underdog pada PRU15 ini, tapi saya nak beri amaran kepada lawan jangan pandang rendah pada kami,” ucapnya pada majlis pengumuman senarai calon GTA di Putrajaya, hari ini.

Mukhriz yang akan mempertahankan Parlimen Jerlun menasihatkan calon GTA tidak meraikan pencalonan mereka kerana sambutan sebenar selepas keputusan PRU15 diumumkan 19 November nanti.

GTA yang dianggotai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), NGO, ahli akademik serta profesional mengumumkan akan bertanding di 121 kerusi Parlimen pada PRU15 ini.

Semua calon GTA akan bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di 25 calonnya yang akan menggunakan logo parti Putra.

Sementara itu Pengerusi GTA Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perjuangan gabungan itu bukan untuk golongan tertentu memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata, matlamat utama mereka adalah untuk menyelamatkan negara, bangsa dan agama daripada pemimpin yang terlibat dengan rasuah.

“Perjuangan GTA bukan untuk orang itu dan ini menjadi Perdana Menteri atau menteri tetapi untuk kita selamatkan negara, bangsa dan agama,” ucapnya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *