UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menerima hakikat dan menghadapi realiti ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu dengan hanya memenangi 20 kerusi Parlimen sahaja di Semenanjung.

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan, berkata ahli-ahli juga tidak boleh berbangga parti itu disebut-sebut sebagai ‘kingmaker’ dalam menentukan pembentukan kerajaan.

“Keputusan parti untuk bersama di dalam kerajaan perpaduan itu tidak mengubah realiti bahawa kita (BN) hanya menang 30 kerusi (Parlimen) dan Umno khususnya di Semenanjung (Umno) hanya menang 20 kerusi (Parlimen).

“Macam mana pun, (apa) yang berlaku dalam minggu-minggu atau bulan-bulan akan datang dari segi kedudukan kita di dalam kerajaan, apa yang kita buat di dalam kerajaan, itu semua sudah tentu perlu lakukan yang terbaik.

“Tetapi yang mustahaknya bagaimana kita hendak bangkit daripada (hanya menang) 20 kerusi di Semenanjung dan 30 kerusi secara keseluruhannya yang perlu difikirkan dan kita tak boleh menafikan realiti (kita telah tewas dalam PRU-15),” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan Santai Pemuda Umno sempena PRU-15 Parlimen Padang Serai di Lunas, Kulim, hari ini.

Shahril yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Umno susulan kekalahan BN, berkata gabungan itu perlu mengaku dan memohon maaf kepada penyokong mereka.

Menurutnya ia kerana Umno dan BN gagal membendung gelombang yang membawa kepada prestasi buruk dalam sejarah pilihan raya disertai parti itu.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *