KULIM: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar meletakkan harapan agar kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang wujud dalam kerajaan perpaduan tidak berakhir selepas lima tahun.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, PH dan BN perlu mencari jalan untuk memastikan hubungan kedua-dua gabungan itu kekal bertahan sehingga bila-bila masa.

Katanya, walaupun PH dan BN memikirkan tentang parti dan diri masing-masing sebelum dan semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, namun akhirnya mereka didorong untuk memilih kepentingan perpaduan bagi membina negara agar lebih maju dan makmur.

“Ini pilihan terbaik untuk masa depan negara kita, saya tak setuju dengan Datuk Seri Jamil (Khir Baharom) dan Tan Kok Yew yang kata harap kerajaan perpaduan ini kekal (sehingga) lima tahun.

“Tak akan nak cerai pula selepas lima tahun, larat ka cerai itu cerai ini. Tak boleh begitu, jangan sekadar lima tahun tetapi biarlah kita kekal sampai ke anak cucu, mana boleh lepas lima tahun cerai cari bini lain pula,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Pengerusi BN dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ketua Setiausaha PH.

Terdahulu, Jamil Khir yang juga Pengerusi BN Kedah dan Kok Yew yang merupakan Pengerusi DAP Kedah pada ceramah sama meminta agar kerajaan perpaduan dirintis kedua-dua gabungan itu kekal sehingga lima tahun.

Tambah Pengerusi PH Kedah itu, BN tidak boleh dibiarkan membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) yang membawa doktrin bahaya kepada masa depan negara iaitu doktrin perpecahan, permusuhan dan kebencian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Saya bimbang (lihat perkembangan itu), lepas pilihan raya lalu saya beritahu Mohamad Sabu (Presiden Amanah) agar tolong maklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pilih BN bentuk kerajaan.

“Tak boleh biar doktrin kebencian bertapak dalam politik kuasa sebab itu kita rela bersama BN untuk membina negara berasaskan kerajaan perpaduan ini,” katanya. – UTUSAN

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *