Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii menjalankan kempen ‘Mulut dikunci rapat’ sebagai tanda protes terhadap kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah bagi orang kristian.
“Mengunci mulut rakyat untuk memperjuangkan hak Orang Islam terhadap Kalimah Allah,” katanya menerusi Twitter.
Beliau turut meluahkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dianggap berat sebelah.
“Isu kalimah Allah, amaran diberi kepada mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan mahkamah, walhal apa yang kami meminta agar KDN terus membuat rayuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, tujuan kempen berkenaan adalah bagi memberi mesej kepada kerajaan bahawa apa yang terjadi hari ini adalah menutup mulut rakyat untuk terus berbicara.
“Tiba-tiba undang-undang Fake News pula terus diwartakan ibarat mengunci mulut setiap inci bibir dan bukan itu sahaja, kepada mana-mana pihak yang membangkitkan didalam mana-mana medium sosial akan dihukum RM100,000 atau 3 tahun penjara,” jelasnya.
Berikutan itu, beliau mempersoalkan tindakan KDN, yang seakan-akan tidak mahu mendengar pendapat rakyat khususnya orang Islam.
“Adakah rakyat Malaysia hari ini tidak langsung boleh berbicara soal isu kepentingan umum,” soalnya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin berkaitan isu kalimah Allah dan hal-hal lain yang dibawa oleh Jill Ireland Lawrence Bill.
Kata beliau, KDN akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis dari pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MP