Dua implikasi yang paling jelas bakal dihadapi orang ramai susulan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bayaran balik peminjam akan bertambah dan dijangka harga barang juga akan naik.

Pengumuman kenaikan OPR pada ketika rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup sememangnya akan memberi tekanan, khususnya kumpulan B40 yang berpendapatan bawah RM4,000.

Kumpulan B40 akan terkesan dengan pengumuman terbaharu kadar OPR ini, sebagai contoh ansuran bulanan pinjaman perumahan mi­salnya dijangka meningkat antara RM90 hingga RM200 jika harga rumah yang dibeli antara RM200,000 hingga RM300,000.

Kadar OPR yang terkini adalah sebanyak 25 mata asas, peningkatan 2.25 peratus daripada sebelum ini.

Pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM), Dr. Madeline Berma berkata, kenaikan OPR sepatutnya hanya memberi kesan kepada bank-bank ko­mersial, namun institusi ke­wangan itu juga akan ber­tindak balas dengan menaikkan kadar faedah ter­hadap peminjam.

“Kenaikan OPR hanya seka­dar meredakan ketidaktentuan eko­nomi dan kalau yang melabur akan senyum lebar kerana kadar bunga naik, tetapi bagi peminjam, mereka akan terkesan kerana bank akan laksana kadar bunga baharu. Kalau mereka buat pinjaman kereta atau rumah, bayaran bulanan mereka sudah pasti akan terkesan.

“Jadi, mereka tiada pilihan, mungkin terpaksa berunding semula nilai bayaran pinjaman, kerana mereka perlu bayar lebih banyak selepas kadar bunga dinaikkan.

“Yang lebih parah, ada yang mungkin perlu rujuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), kalau tidak peminjam akan sakit selepas ini,” katanya dipetik laporan Utusan.

Selain terpaksa membayar balik dengan jumlah lebih tinggi akibat kenaikan OPR, Madeline tidak menolak kos harga barang yang sudah pun meningkat ketika ini akan juga turut naik sama kerana mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

“Ia tidak akan memberikan kesan secara langsung tetapi perlu diingat, pengusaha dan penjual akan menggunakan apa jua alasan untuk menaikkan harga barang.

“Yang paling terkesan ada­lah golongan pekerja yang menerima pendapatan bawah RM4,000, yang dalam kategori B40 dan yang bergantung kepada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ka­tanya.

Sementara itu, seorang perunding kewangan Abuayubul Ansari pula berkata dalam situasi semasa, segala kos akan bertambah, malah orang awam yang tidak membuat pinjaman pun akan terasa bahangnya kerana kos semua barang akan mula naik.

Ini kerana katanya selain daripada pelbagai faktor, kos meminjam bagi perniagaan akan meningkat yang dengan sendirinya menjadi punca kepada kenaikan harga produk atau pun perkhidmatan.

“Ini secara tidak langsung menjadikan orang awam akan mula merasai bahang. Jadi nasihatnya adalah sama saja seperti nasihat orang tua dulu-dulu, berjimat, jangan berbelanja berlebihan dan adakan simpanan.

“Bak pepatah ukur baju di badan sendiri, juga bila mahu beli barangan berharga tinggi, pastikan mempunyai deposit yang tinggi dan jangan meminjam lebih daripada empat tahun untuk kereta.

“Kalau rasa tak boleh, maksudnya kita belum mampu. Itu yang orang tua dulu cakap ‘kumpul, kumpul dulu (duit) baru beli. Selain itu, perlu juga tahu cara mendapatkan pendapatan tambahan jika mahukan juga kemewahan dan perlu mula belajar mengenai kewangan,” katanya.

Seperti dijangkakan, BNM pada Isnin menaikan sekali lagi OPR dan ia adalah peningkatan kedua berturut-turut tahun ini selepas kali pertama OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus pada mesyuarat terakhirnya Mei lalu.

Menurut BNM, pembukaan semula ekonomi global dan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi, namun faktor-faktor itu sebahagiannya diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.