Kalau ditanya kepada rata-rata rakyat Malaysia dari mana datangnya nama Proton Saga, mesti ramai akan jawab dari biji buah saga yang mudah didapati di Malaysia. Itu adalah tidak tepat kerana terdapat kisah tersendiri dari mana datangnya nama Proton Saga tu.

Sebelum pelancaran Proton Saga pada bulan September tahun 1985, pertandingan untuk mencari nama bagi model pertama Proton ini telah diadakan. Pertandingan yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia ini telah menarik penyertaan sebanyak 102,823 orang. Boleh tahan ramai juga yang nak turut serta bagi cadangan nama untuk kereta pertama kebangsaan masa tu.

Akhir sekali hanya tiga nama yang menjadi penentu bagi nama model pertama Proton iaitu Saga, Perdana dan Gagah. Akhirnya, tentulah Saga dipilih sebagai nama bagi model pertama Proton.

Sebenarnya nama Saga ini tidak dicadangkan oleh seorang peserta. Tetapi terdapat 11 orang yang menamakan Saga, dan kemenangan berpihak kepada Sarjan Ismail Jaafar yang bertugas di Markas Tentera Dua Divisyen, Pulau Pinang pada waktu itu. Apa yang membuatkan beliau dipilih menjadi juara?

Kisahnya bermula apabila beliau sedang bermain permainan Scrabble dengan rakan-rakan sekerjanya. Pada masa tu, beliau menyusun frasa ‘saga’ yang bermaksud sebuah kisah yang panjang dalam Bahasa Inggeris. Macam Star Wars Saga lah yang menunjukkan cerita tu panjang. Pada ketika itu beliau mendapat idea untuk menterjemahkan frasa ‘saga’ itu dan memberi maksud bagi setiap huruf tersebut.

S = Safety, Stability (keselamatan, kestabilan)

A = Achivement (pencapaian)

G = Greatness (keagungan)

A = Ability (kebolehan)

Jadi dari situlah datangnya nama Proton Saga yang diambil daripada perkataan bahasa inggeris dan diberi makna bagi setiap huruf. Mungkin disebabkan beliau berseloroh ketika ditanya dari mana datangnya perkataan saga itu, dan menjawabnya dari biji buah saga, maka ramai yang ingat itulah asal-usul nama Proton Saga.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.