Bubur Lambuk dikatakan wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, apabila Parameswara ataupun nama baginda selepas memeluk agama Islam, Sultan Iskandar Shah, menerima kunjungan Maharaja Hun Jen dari Kemboja yang mahukan sejenis makanan yang mudah untuk ditelan tetapi sedap dan berkhasiat.
Namun begitu, sumber ini mungkin agak kabur dan terlalu jauh untuk dikaitkan dengan hidangan bubur lambuk pada bulan Ramadhan.
Satu lagi sumber mengatakan bahawa bubur lambuk mula dihidangkan di Malaysia, di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur oleh Said Bank pada tahun 1950-an dan sukatan rempah ratus yang digunakan dalam penyediaan bubur lambuk ini.
Adakah sejarah ini tepat? Mungkin terdapat kebenaran dan fakta yang membentuk sejarah penghasilan bubur lambuk yang kita sedia ketahui pada hari ini, tetapi masih tidak dapat dibuktikan asal-usul dan kepentingan hidangan ini yang hanya disediakan sekali dalam setahun.
Cara Penyediaan Bubur Lambuk
Lazimnya, bubur ini diperbuat daripada beras dan campuran rempah serta sayuran pucuk paku miding. Namun begitu, cara masakan bubur lambuk adalah berbeza-beza mengikut negeri. Misalnya di Terengganu, kerepok keping mentah dan budu juga ditambah bagi menambah perisa.
Di samping itu, ubi keledek, udang kering dan isi daging atau ayam dimasukkan. Di negeri-negeri di utara pula, rasa lemak manis pada bubur tersebut diberi dengan masukkan santan dan kulit kayu manis. Walau bagaimanapun cara bubur tersebut disediakan, bubur lambuk masih menjadi makanan pilihan untuk dimasak di masjid-masjid di seluruh negara.


Bubur lambuk menjadi lambang perpaduan dan kesatuan bagi penganut agama Islam setiap kali bulan Ramadhan menjelang adalah kerana penyediaan bubur itu sendiri dilakukan secara bergotong-royong di masjid-masjid sebelum waktu berbuka puasa sepanjang bulan Ramadhan berlangsung. Adalah menarik untuk dilihat cara satu hidangan mudah seperti semangkuk bubur mampu mengeratkan silaturrahim antara individu dalam sesebuah masyarakat.
Selaras dengan matlamat bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat serta mengajar erti kesyukuran dan simpati dengan golongan yang kurang berkemampuan, penyediaan bubur lambuk membawa pelbagai makna dan perspektif serta patut diangkat sebagai makanan rasmi pada bulan Ramadhan ini. Bagi anda yang tinggal di kawasan Kuala Lumpur, jangan ketinggalan daripada merasa hidangan bubur lambuk istimewa Masjid Jamek Kampung Baru pada bulan Ramadhan tahun ini. Barisan yang beratur menanti bubur tersebut boleh menjadi panjang tetapi nikmat makan bubur tersebut tidak terkira!