KEPALA BATAS – Kesempitan hidup yang ditempuh seorang ibu OKU, Siti Khalijah Awang Kechik, 29, bersama dua anaknya di Taman Seri Bekah Penaga di sini memaksa mereka mencatu makanan demi kelangsungan hidup.

Dugaan itu bermula selepas suaminya dihukum penjara sehingga menyebabkan tiga beranak itu terkena tempias dan terpaksa menjalani kehidupan serba kekurangan serta sering kelaparan.

Siti Khalijah yang disahkan menghadapi masalah pembelajaran sejak berusia 12 tahun mengakui agak mencabar membesarkan kedua-dua orang anaknya berusia tiga dan tujuh tahun sendirian tanpa sebarang pendapatan.

Menurutnya, dengan status OKU juga menyebabkan dia sukar untuk menerima sebarang pekerjaan.

“Selepas suami dimasukkan ke penjara pada 2018 kehidupan kami hanya bergantung dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang yang berjumlah RM650 secara keseluruhan.

“Keadaan bertambah susah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hinggakan pernah suatu ketika bekas beras kami kosong dan bekalan kami makanan terputus beberapa hari,” katanya

Bagi mencari pendapatan sampingan Siti Khalijah berkata, dia kini mengusahakan jualan kerepek secara kecil-kecilan dan diletak di beberapa kedai runcit berhampiran.

Katanya, dengan cara itu, dia boleh meraih pendapatan sebanyak RM30 seminggu sekiranya semua kerepek habis terjual.

Bagaimanapun, katanya ketika perlaksanaan PKP ketika ini menyukarkan dia mendapatkan bekalan tepung dan bahan lain sekaligus membataskan urusannya dalam menyediakan kerepek.

“Saya sedih melihat anak-anak kerana mereka terpaksa menahan perut disebabkan saya mencatu makanan harian sedangkan mereka selalu meluahkan keinginan untuk merasai makanan yang sedap tetapi saya sudah tiada duit.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *