SHAH ALAM: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis palsu berhubung sebuah madrasah pemulihan dadah kendalian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NG0) di sini pada 21 Ogos lalu.

Tertuduh, Zuraina Zamri, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali.

Berdasarkan pertuduhan, Zuraina didakwa membuat laporan dengan memberikan maklumat secara bertulis iaitu laporan polis Sri Muda yang diketahuinya palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 tengah malam di Balai P0lis Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 21 Ogos.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Elyza Amira juga meminta agar tertuduh tidak membuat sebarang kenyataan media supaya tidak mengganggu perjalanan kes serta saksi awam.

Manakala peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Wan Azmir Wan Majid, memohon jaminan dikurangkan kerana Zuraina hanya suri rumah, manakala suaminya berpendapatan bulanan RM3,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata pada 21 Ogos lalu, wanita itu membuat laporan bahawa anaknya yang berusia 20 tahun yang menghuni madrasah itu dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden serta mahu mengeluarkan anaknya daripada tempat itu.

“Hasil siasatan polis mendapati, anak pengadu dihantar ke Madrasah Darussolihin selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

“Pada 23 Ogos lalu, anak wanita berkenaan membuat laporan polis menyatakan dia tidak dipukul oleh pihak madrasah bagaimanapun, pada 25 September, pemuda itu sekali lagi membuat laporan polis mengatakan dia dipukul oleh pihak madrasah.

“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *