JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan di Semenanjung dan Malaysia Timur pada hari pertama dan kedua Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 22 dan 23 April ini.
Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia menerusi kenyataan berkata, hujan diramal di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, barat Johor dan Sabah (bahagian Kudat dan Sandakan) pada pagi 22 April.
Pada sebelah petang pula, katanya, hujan dan ribut petir diramal di beberapa tempat melibatkan Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan bahagian pedalaman serta pantai barat Sabah.
Sementara itu, satu atau dua tempat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Kapit, Miri dan Limbang) dan Sabah turut dijangka mengalami hujan dan ribut petir.
Pada sebelah malam, hujan diramal di satu atau dua tempat di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sarawak (bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Bintulu, Kapit, Miri dan Limbang, Sabah (bahagian pedalaman dan pantai barat) serta Labuan. MP