BEKAS Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang DiPertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu.
Beliau akan menggantikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasruddin Hassan.
Menurut kenyataan YADIM, pelantikan Hasanuddin itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
YADIM berkata, Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja YADIM yang membabitkan dakwah kepada orang ramai.
Malah, menurut YADIM, beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terbabit dengan badan badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin @Che Wan dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua badan dakwah itu.
Menurut YADIM, pembabitan Adi Anuar dalam bidang pendidikan dapat membantu YADIM dalam melahirkan daie muda bagi menjalankan aktiviti dakwah di negara ini.
Pelantikan bagi dua jawatan bukan eksekutif itu berkuatkuasa 3 Mei lalu.
Menurut kenyataan itu, YADIM percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh itu akan dapat meningkatkan kemampuan badan dakwah itu menyebar nilai murni Islam