Bayangkan dalam tempoh sehari, dunia ‘gelap’ tanpa ada sebarang gambar dalam kehidupan kita.

Akhbar, majalah tiada gambar; saluran televisyen, video tiada visual; passport, lesen memandu dan MyKad tiada gambar pemilik; portal-portal berita hanya paparkan berita tanpa gambar, cuba bayangkan.

Lebih buruk, perkahwinan yang majoritinya diadakan sekali seumur hidup juga tidak mempunyai dokumentasi dari segi fotografi. Bayangkan? 

Kita akan rasa pelik. Rasa tidak seronok serta sunyi. Malah, kita akan mula dilanda kebosanan lebih-lebih lagi di zaman digital dan media sosial ketika ini, ramai yang mahu menonton, menatap dan berita dibacakan kepada mereka.

Itulah kerja-kerja yang dilakukan oleh jurufoto saban hari. Tidak kiralah mereka ini dari genre mana. Foto yang dihasilkan akan menghiasi pelbagai medium yang ada ketika ini.

Jadi sempena Hari Fotografi Sedunia hari ini, saya ingin membawa pembaca kepada isu jurufoto, lebih spesifik di dalam industri media.

Jurufoto media sering dipinggirkan, di lokasi tugasan sehinggalah ke alam pekerjaan.

Untuk mengimbangi isu ini, media termasuk juga wartawan dan jurufoto seringkali menjadi warga kelas kedua dan dipinggirkan ketika dirasakan khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

Media terutama jurufoto hanya akan disanjung dan diraikan ketika orang ramai memerlukan khidmat mereka dan akan dipinggirkan sebaik sahaja mereka menyelesaikan kerja-kerja mereka.

Jutufoto akhbar secara spesifik, terpaksa berada di barisan hadapan untuk merakam subjek dan seringkali terpaksa berhadapan dengan bahaya yang menjadi salah satu daripada ‘work hazard’ yang perlu mereka tempuhi.

Apa yang ingin saya tunjuk di sini ialah, media terutama jurufoto terpaksa berada di barisan hadapan untuk mendokumentasikan situasi.

Kami tidak boleh berada di belakang komputer menghasilkan berita dan gambar. Tidak sama sekali.

Di Malaysia, jurufoto sering menjadi jemputan kelas kedua jika menghadiri apa juga tugasan yang dianjurkan, seolah-olah mereka boleh diketepikan dan tidak penting.

Ada sesetengah situasi, wartawan diberikan tempat duduk yang selesa semasa acara berlangsung serta diberikan ‘press kit’ yang lengkap, tetapi jurufoto pandai-pandailah mereka mencari tempat duduk sendiri dan ada ketikanya dihalau kerana duduk di kerusi yang sudah dikhususkan untuk jemputan lain.

Itu tidak termasuk ‘door gift’ yang berbeza antara VIP, jemputan dan wartawan. Jika bernasib baik, jurufoto dapatlah ‘hadiah’ sekeping kertas program acara, itupun puas meminta hanya disebabkan ingin memastikan nama pada kapsyen betul dan tepat.

Apa pun, tidak semua penganjur terutama pegawai perhubungan awam yang ’buta’ terhadap kepetingan seorang jurufoto, hanya segelintir.

Di tempat kerja pula, kes yang agak klasik ialah jurufoto sering diminta untuk ke semua tugasan, tidak kiralah tugasan berat atau ringan merakam profile individu, pelancaran mahupun hanya diarahkan ke lokasi tugasan tanpa wartawan bersama. 

Ada kala, tugasan yang diberikan itu dilihat boleh dirakam sendiri dengan mudah oleh wartawan terbabit, namun permohonan terhadap tugasan itu tetap akan dilayan jurufoto. 

Tetapi bila ada jemputan trip junket (boleh dikatakan trip percutian), seringkali yang mendapat jemputan hanyalah wartawan tanpa jurufoto. Kata mereka, tiada peruntukan untuk membawa jurufoto bersama dan wartawan juga boleh merakam gambar.

Secara automatik, wartawan akan mampu menjadi wartawan dan jurufoto sekaligus. Lebih menyedihkan, ada wartawan (segelintir, bukan semua) yang membawa rakan dari luar media atau pasangan mereka jika penganjur menyediakan peruntukan tempat untuk jurufoto. Ini adalah satu yang jijik.

Dari segi pengiktirafan juga berbeza antara wartawan dan juga jurufoto. Sehingga rencana ini ditulis dan sepanjang peglibatan saya sebagai seorang jurufoto selama 12 tahun dan wartawan (19 tahun), anugerah tertinggi media tidak pernah diberikan kepada jurufoto.

Kategori anugerah untuk jurufoto juga hanya sedikit, maksimum dua berbanding kategori penyertaan untuk wartawan. Mungkin untuk jurufoto itu sekdar ada.

Itu hanyalah sekelumit kisah yang dihadapi oleh jurufoto saban hari walaupun mereka bertarung nyawa mahu mendapatkan rakaman dengan subjek dan sudut terbaik untuk tatapan pembaca.

Mereka tidak pernah hampa untuk menghasilkan rakaman terbaik walaupun ada pengarang yang pernah mengungkapkan, ‘gambar je pun’ bila diminta untuk menukar gambar kepada yang lebih baik. 

Malah, Hari Fotografi Sedunia hari ini tidak diingati oleh sesiapa waima ucapan dari Perdana Menteri sekalipun walaupun ia jatuh pada tarikh yang sama, setahun pemerintahan beliau.

Apa pun kami, sebagai jurufoto tetap terus berkarya menghasilkan imej-imej menarik sehingga kami diiktiraf sama dengan rakan-rakan media yang lain. – Getaran, 19 Ogos 2022

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *