Parlimen Malaysia memutuskan bahawa jumlah agensi berita dan pengamal media dihadkan kepada 72 orang sahaja bagi membuat liputan secara fizikal sidang Parlimen yang bermula Isnin ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata Parlimen Malaysia mengehadkan jumlah kehadiran orang-ramai di bangunan Parlimen demi membendung dan mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 semasa sidang khas tersebut.

Katanya, walaupun kehadiran pihak media secara fizikal di bangunan Parlimen terhad, pihak Parlimen Malaysia akan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan Ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

“Sidang media dan temu bual secara maya ini akan memberi peluang kepada semua pengamal media yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk mengambil bahagian dalam semua sidang media atau temu bual yang mungkin diadakan mana-mana Ahli Parlimen ketika sidang khas diadakan.

“Bagi tujuan ini, Parlimen Malaysia akan menyediakan satu bilik khusus yang akan menempatkan dua komputer serta kelengkapan audio visual dengan pautan Zoom khas,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pihak media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen jika ingin mengadakan sesi interaktif bersama mana-mana Ahli Parlimen Dewan Rakyat.

Begitu juga sebaliknya, katanya, mana-mana Ahli Parlimen juga boleh berbuat demikian untuk berinteraksi secara eksklusif dengan mana-mana wakil media sama ada secara berkumpulan atau individu (one fo one).

“Sementara itu, liputan sidang media secara langsung melalui YouTube Live Stream di pusat media kali ini akan diberi sentuhan pembaharuan dengan memperkenalkan inovasi di mana wartawan yang berada di luar bangunan Parlimen juga boleh hadir secara maya dengan capaian aplikasi Zoom yang akan disediakan.

“Pengamal media juga boleh mengikuti siaran secara langsung disediakan melalui pelbagai saluran seperti YouTube Live Stream, di Portal Rasmi Parlimen Malaysia, MyKIikRTM dan BERNAMA bagi membuat laporan.

“Semua gambar-gambar penting sepanjang persidangan akan dirakam jurugambar rasmi Parlimen Malaysia bersama jurugambar Jabatan Penerangan dan pihak media boleh mendapatkannya melalui pautan yang disediakan,” katanya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *