Hampir 30 peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka di dalam Akaun 1 ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias memaklumkan ini di sebalik kejayaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan dividen yang agak tinggi kepada ahli-ahlinya meskipun berdepan pelbagai cabaran pada tahun 2020.

“Kita dapati banyak simpanan ahli telah menurun, kita percaya lebih kurang 30 peratus daripada mereka telah keluarkan hampir kesemua wang persaraan mereka di dalam Akaun 1. Mereka cuma terpaksa tinggalkan RM100 di dalam akaun sebagai syarat.

“Kita jangka 60 peratus ahli pula akan menggunakan wang daripada Akaun 2. Akaun ini adalah untuk memudahkan ahli untuk membeli rumah, bil perubatan dan pendidikan serta meningkatkan skil mereka.

“KWSP agak bimbang berkenaan perkara ini, kita akan terus melakukan lebih banyak aktiviti serta kempen kesedaran betapa pentingnya simpanan untuk hari tua,” katanya dalam Laporan Kewangan KWSP bagi tahun 2020 pada Sabtu.

Sementara itu, KWSP turut memaklumkan sebanyak RM18.1 bilion simpanan telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahlinya menerusi Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari yang dilancarkan sebelum ini.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.