Pengasas Rumah Bonda dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun selepas disabit kesalahan atas dua pertuduhan mengabai dan mendera seorang remaja sindrom down dikenali sebagai Bella.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi tadi menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Siti Bainun Ahd Razali dalam kes penderaan ke atas gadis berusia 13 tahun itu.

Hakim perbicaraan Izralizam Sanusi memerintahkan hukuman itu berjalan mulai hari ini. Dia menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, dan penjara 12 tahun bagi pertuduhan kedua.

Hakim memerintahkan Siti Bainun melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam selepas selesai hukuman penjara.

Izralizam turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun.

Bagaimanapun, hakim membenarkan prosiding dihentikan sementara untuk pihak-pihak mengemukakan sama ada membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Semasa membacakan penghakimannya sebelum ini apabila mendapati tertuduh bersalah, Izralizam memutuskan bahawa keterangan Siti Bainun dan saksi pembelaan lain hanyalah hearsay (khabar angin), terutamanya berhubung dakwaan bahawa kecederaan Bella berpunca terkena air panas dan bukannya didera.

Hakim menyatakan bahawa bukti di mahkamah menunjukkan bahawa kecederaan pada Bella adalah lebih lama berbanding dakwaan kejadian terkena air panas pada Mei 2021.

“Ini menunjukkan bahawa kejadian terkena air panas itu tidak pernah berlaku,” kata hakim itu sambil menambah keterangan lisan yang diberikan oleh tertuduh berusia 31 tahun dan tujuh saksi pembelaan lain tidak boleh dipercayai atau diterima oleh mahkamah perbicaraan.

Semasa mengemukakan hukuman, peguam bela Siti Bainun, Farhan Maaruf merayu hukuman ringan tanpa penjara kerana tertuduh dikatakan telah insaf dengan kejadian itu.

Peguam itu menambah bahawa sekiranya Siti Bainun dijatuhkan hukuman penjara, dia merayu untuk tempoh tahanan yang singkat kerana “kemudahan penjara semasa tidak dapat menampung seseorang seperti fizikalnya (Siti Bainun).

“Ini disebabkan saiznya yang besar dan (masalah) kesihatan. Hukuman penjara yang panjang akan menjejaskan kesihatan tertuduh,” kata Farhan.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya (DPP) Zahida Zakaria memohon hukuman untuk pencegahan (deterrant) kerana Siti Bainun mengkhianati amanah terhadap Bella dan masyarakat untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengasuh kanak-kanak.

DPP menegaskan bahawa kecederaan Bella adalah serius dan meliputi sebahagian besar badannya.

“Parut akibat kecederaan adalah kekal dan akan kekal bersama Bella sepanjang hayatnya,” kata Zahida.

Izralizam kemudiannya menangguhkan prosiding buat sementara waktu untuk memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap tertuduh.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *