IPOH – Seorang lelaki warga emas maut akibat diserang babi hutan di sebuah kebun kelapa sawit di Tanah Hitam, Chemor, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, Soo Chau, 71, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian tangan dan kaki.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa masuk ke kebun untuk mencari cendawan.

“Mangsa telah terserempak dengan seekor babi hutan yang dipercayai telah terlepas dari jerat dipasang pemburu haram.

“Haiwan itu bertindak ganas menyerang mangsa, seorang lelaki yang secara kebetulan melalui tempat kejadian turut diserang ketika cuba menolong mangsa,” katanya.

Menurutnya, babi tersebut kemudiannya lari ke kawasan semak berhampiran, namun terperangkap selepas dawai jerat yang terikat di kaki hadapan tersangkut antara akar pokok.

“Jabatan Perhilitan segera dimaklumkan akan kejadian itu dan anggota yang tiba berjaya menembak mati haiwan berkenaan,” katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat, manakala mangsa cedera dirawat di hospital sama.

Menurutnya, daripada siasatan, babi terbabit berkemungkinan bertindak ganas selepas terkena jerat kabel yang dipasang.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *