BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon mahu tuduhan rasuah terhadap mereka melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta, dibatalkan.

Peguam RSN Rayer, memberitahu Mahkamah Tinggi George Town, beliau akan memfailkan permohonan supaya kes itu dibuang, lapor FMT hari ini.

Katanya, pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes jenayah terdahulu, melibatkan pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, walaupun beliau dibebas dan dilepaskan pada 2018.

Guan Eng, Chew dan Li Koon berada di Mahkamah Tinggi di George Town  selepas kes mereka dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di Butterworth, di mana mereka minta dibicarakan pada 2020.

Mereka hari ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan tersebut, yang dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rofiah Mohamad.

Mereka didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Rofiah menetapkan 11 September untuk pengurusan kes dan ketiga-tiganya dibenar memindahkan wang ikat jamin sebanyak RM50,000 yang dicadangkan sebelum ini.

Kes melibatkan projek asrama yang dianugerahkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Li Koon ketika Guan Eng menjadi Ketua Menteri.

Guan Eng didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Chew melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd memperoleh projek itu di Juru dan Batu Kawan.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, ketika Guan Eng juga menjadi Pengerusi Lembaga Tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Li Koon didakwa bersubahat dengan Guan Eng mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Chew didakwa atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM372,009 daripada akaun Public Bank yang didaftarkan di cawangan Taman Melaka Raya antara 7 Oktober 2013 dan 3 Mac 2016.

S Meharaj turut mewakili Guan Eng dan Chew selaku peguam, manakala V Sithambaram mewakili Li Koon.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Shafiq Hasim. – Malaysiapost

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *