Dua lelaki warga Indonesia termasuk seorang yang mengancam membunuh dan meminum darah warga Acheh ditahan dalam dua serbuan berasingan bermula kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, penangkapan kedua-dua suspek berusia 30 dan 31 tahun itu dilakukan kira-kira jam 10 malam Selasa lalu serta 5.30 petang semalam di Klang dan Tanjung Sepat, Kuala Langat.
Katanya, tangkapan itu dilakukan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima beberapa kandungan video menerusi WhatsApp sekitar jam 3.30 petang pada Selasa lalu.
“Video itu memaparkan seorang lelaki mendakwa dia sudah membunuh beberapa orang lelaki Indonesia berbangsa Acheh dan minum darah mereka (orang yang dibunuhnya).
“Sehari kemudian, sebuah video tular menunjukkan suspek dipukul beberapa orang lelaki yang marah atas kenyataan dibuat lelaki itu yang dikatakan berlaku di Taman Selat Damai Pandamaran, Klang.
“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor melancarkan gerakan mengesan kesemua suspek yang terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan lelaki berkenaan termasuk seorang lagi warga Indonesia yang terbabit dalam kes merusuh.
“Kedua-dua tangkapan berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan reman ke atas kedua-dua suspek dilakukan di Mahkamah Klang hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
▶️Harian Metro