Kehilangan suaminya menimbulkan tanda tanya dan penuh misteri. Nagaratha Vally Ramiah, tampil membuat laporan polis pada 18 Disember 1984, setelah mendapati suaminya, Ayakannu Marithamuthu, 34, tidak pulang ke rumah selepas pergi berjudi di Genting Highland.

Menurut perkongsian di Twitter Jeffrey Zain, polis dikatakan sangsi dengan dengan laporan yang dibuat oleh Nagaratha memandangkan suaminya, Ayakannu bukanlah seorang yang berduit. Tambahan, dia baru sahaja meminta gaji pendahuluan (advance) SG$600 dari majikan untuk membeli buku-buku sekolah anaknya.

Isteri dan keluarga ditahan.

Polis percaya, Ayakannu yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah chalet di Changi, telah meninggalkan keluarganya atas kerelaannya sendiri. Siasatan juga mendapati dia telah membuat permohonan cuti Hari Natal pada 21 dan 22 Disember.

Menurut pihak polis, kehilangan bapa kepada tiga anak itu bukanlah sesuatu yang aneh dan membimbangkan. Selepas mengambil keterangan 30 individu sepanjang lima bulan, polis telah mengenal pasti lapan suspek yang kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut. Antaranya adalah Nagaratha bersama dengan tiga adik-beradik lelaki, adik dan kakak ipar, serta ibu kandung Nagaratha.

“Walaubagaimanapun kesemua suspek menafikan penglibatan mereka dalam kes kehilangan Ayakannu, sehinggalah salah seorang daripada suspek menjadi gemuruh dan takut.

“Suspek mendedahkan, kepala Ayakannu dipukul dengan batang besi sehingga mati sebelum mayatnya dihiris dan dimasak dalam gulai kari,” tulis Jeffrey Zain.

Dihiris dan dimasak dalam gulai kari

Pada hari kejadian, 12 Disember 1984, tiga adik-beradik Nagaratha membawa Ayakannu ke kuarters pengawal keselamatan Gereja Orchard Road Presbyterian di mana salah seorang dari mereka bekerja. Di sebelah malam, Ayakannu dibelasah sehingga mati.

“Tiga bersaudara itu kemudian memotong dan menghiris mayat abang ipar mereka dan memasaknya dalam gulai kari yang dicampur dengan rempah ratus dan serbuk cili yang pedas untuk mengurangkan bau hamis mayat.

“Tugas memotong menjadi lebih mudah memandangkan salah seorang dari mereka bekerja sebagai pemotong daging di pasar. Tulang-temulang Ayakannu diasingkan ke dalam beberapa beg plastik hitam dan dibuang di beberapa tempat pembuangan sampah sekitar lokasi mereka tinggal,” tulisnya.

Isteri tak tahan dengan sikap suami kaki pukul.

Pada 27 Mac 1987, Nagaratha dan adik beradiknya telah didakwa di mahkmah atas tuduhan membunuh, manakala kakak ipar dan ibunya pula turut didakwa atas pertuduhan bersubahat.

Punca sebenar kejadian tidak pernah didedahkan, namun media Singapura membuat spekulasi mengatakan ia berpunca dari sikap panas baran Ayakanu yang merupakan kaki botol dan sering memukul isterinya.

Nagaratha dikatakan tidak tahan dengan sikap suaminya yang bertukar menjadi ganas setiap kali dia mabuk sehingga memaksanya berkongsi masalah dengan adik-beradiknya.

Kesemua suspek dihadapkan ke mahkamah dan selepas tiga bulan kemudian, mereka dibebaskan kerana tiada bukti yang cukup (mayat Ayakannu dan senjata pembunuhan) untuk mendakwa mereka.

Disebalik peristiwa itu, pelbagai spekulasi mula timbul dengan dakwaan mengatakan kari daging manusia itu sememangnya wujud dan pernah dihidangkan di Gereja Orchard Road Presbyterian.

“Saya rasa macam pernah makan kari daging di situ. Dagingnya tak macam kambing pun. Rasanya pun aneh,” komen seorang saksi.

Sumber: Jeffrey Zain

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *