Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR kini berada di persimpangan dilema menjelang kongres kebangsaan parti itu yang dijadualkan pada 15 Julai ini.

Ini selepas sebuah syarikat pakar membuat audit forensik mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.

Perkara itu disahkan oleh pelbagai sumber dalam parti kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Menurut sumber, terdapat empat isu utama dibentangkan pakar audit forensik kepada MPP dalam dua mesyuarat berasingan masing-masing pada 9 Jun dan 20 Jun.

“Menggunakan tab haram, mengundi selepas waktu pengundian tamat, mengundi berpuluh kali menggunakan Mykad yang sama, mengundi secara besar-besaran dalam satu-satunya masa merupakan antara empat perkara disimpulkan sebagai ‘digital discrepancies’ oleh syarikat itu.

“MPP kini berada di persimpangan jalan. Mereka perlu membuat keputusan dan langkah seterus parti berhubung penemuan menerusi audit forensik ini,” kata satu sumber yang menghadiri kedua-dua mesyuarat tersebut kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, MPP sebelum ini bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR mengenai keperluan melakukan audit forensik ke atas keputusan tidak rasmi pemilihan parti.

Pemilihan PKR kali ini diadakan secara hybrid iaitu gabungan pengundian atas talian (PAT) dan pengundian secara fizikal. JPP menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.

Banyak aduan dibuat membabitkan dakwaan berlaku manipulasi khususnya ketika pengundian secara fizikal.

Susulan itu, JPP melantik Alliance IFA Sdn Bhd, sebuah syarikat pakar audit digital untuk membuat audit forensik ke atas 4,000 tab yang digunakan untuk pemilihan secara fizikal.

PKR ada tiga pilihan

Sementara itu, sumber itu memberitahu MPP kini mempunyai tiga pilihan berhubung penemuan penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti.

“Yang pertama, “mengetepikan” penemuan audit forensik dan mengekalkan keputusan tidak rasmi. Ini selepas mengambil kira masa depan lebih-lebih pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kedua, membatalkan keputusan pemilihan dan mengekalkan ahli jawatankuasa penggal 2018 sebelum mengadakan pemilihan semula selepas PRU. Ada pihak berpandangan pilihan kedua itu tepat iaitu membatalkan keputusan selaras dengan pendirian parti bahawa keadilan bagi semua dan telus dalam semua perkara.

“Yang ketiga, menolak semua undi yang dikenal pasti menerusi penipuan dan mengumumkan keputusan terakhir hanya berdasarkan undi yang ‘bersih’.

“Ahli MPP berpandangan bahawa pilihan ketiga paling selamat bagi semua pihak,” katanya.

Namun, sumber itu memberitahu pilihan ketiga mungkin tertakluk kepada campur tangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Sebagai contoh, pada 2013 ROS mengarahkan DAP membuat pemilihan semula bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) setelah mendapati ada cawangan tidak wujud mengundi dalam pemilihan.

“Walaupun jumlah undi daripada cawangan tidak wujud itu sangat kecil, dan tidak mengubah keputusan pemilihan CEC, ROS bertegas untuk mengadakan pemilihan semula.

“Bagi pemilihan PKR kali ini, jurang penipuan undi agak tinggi. Lebih penting terdapat 40 laporan kepada ROS berhubung pemilihan PKR kali ini.

“Jadi kita perlu lihat apakah keputusan MPP yang kebiasaannya mengadakan mesyuarat khas sebelum kongres kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, satu lagi sumber tertinggi parti memberitahu Malaysiakini bahawa JPP akan mengumumkan keputusan terakhir pemilihan parti bermula 2 Julai Sabtu ini (esok).

“Semalam, syarikat audit itu telah memberikan taklimat kepada JPP. Dan JPP menerima sepenuhnya penemuan dan hasil audit forensik.

“Maka JPP akan memaparkan keputusan akhir di laman sesawang www.pemilihankeadilan2022.com.

“Keputusan akhir itu hanya berdasarkan undi ‘bersih’ sahaja,” tambah sumber itu. MK

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.