Seorang pelakon lelaki popular ditahan selepas dipercayai membelasah, termasuk membuat ugutan bunuh terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Habibi Majinji, berkata kejadian itu berlaku pada 8.30 malam ketika mangsa dilaporkan meminta tolong rakannya membeli minyak masak di luar kawasan kediaman berkenaan.

“Rakannya bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan kondominium terbabit oleh pengawal keselamatan sebelum memaklumkan perkara itu kepada mangsa.

“Mangsa kemudian turun ke lif lobi kondominium itu sebelum bertanya punca rakannya tidak dibenarkan masuk untuk menghantar minyak masak yang dipesan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Mengulas lanjut, Habibi berkata pertengkaran mulut dipercayai berlaku antara mangsa dan pengawal keselamatan terbabit sebelum pelakon lelaki yang juga suspek secara tiba-tiba datang lalu menumbuk serta menendang mangsa.

“Mangsa mendakwa suspek yang berusia lingkungan 30-an itu menumbuk dan menendangnya di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan, selain mencekik dan mengugut akan membunuhnya,” katanya.

Habibi berkata, mangsa membuat laporan sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Sentul, menahan suspek di kediaman sama, malam semalam.

Katanya, suspek kini ditahan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.