Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi melanggar perjanjian dibuat pada 2009 untuk berundur, kata Nazri Aziz

Ahli Parlimen Padang Rengas mendedahkan, perjanjian itu meletakkan syarat mana-mana pemimpin parti dihadap ke mahkamah perlu mengundur diri.

Nazri berkata, perjanjian itu dipersetujui Najib yang ketika itu perdana menteri dan Zahid sebagai timbalan perdana menteri.

“Sekarang, mereka menguasai parti dan bukan mengotakan janji yang telah dibuat,” katanya menurut Astro Awani.

Nazri berkata demikian dalam satu forum di Yusof Ishak Institute.

Najib dalam proses terakhir merayu keputusan dibuat dua mahkamah sebelum ini yang menjatuhi hukuman bersalah terhadapnya melibatkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Manakala, Zahid pula dalam proses membela diri atas 47 pertuduhan yang disabitkan ke atasnya melibatkan pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi.

Diminta mengulas usaha meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH), Nazri menjelaskan masalah dihadapi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah tentangan dalaman Umno dan bukan pihak lain.

“Yang menentang MoU ini bukan pembangkang, tetapi sebaliknya daripada parti kami sendiri, mereka di dalam Umno.

“Saya bimbang dengan Umno. Saya tidak bimbang tentang PAS atau Bersatu. Umno merupakan musuh terbesar kita pada masa ini,” katanya.

Nazri juga mendakwa, ada pihak tertentu yang mahu MoU ditamatkan dan mahukan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disegerakan kerana mempunyai kepentingan peribadi.

“Perkara ini datang dari parti saya sendiri, kenapa? Ini kerana kepentingan peribadi, nak mengelak kes mahkamah.

“Apa yang akan berlaku kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah? Ini memalukan dan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau juga menjelaskan Umno tidak sepatutnya ghairah mendesak apa yang mereka kehendaki kerana parti itu bukan lagi mendominasi kerajaan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.