PERTEMUAN Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Abdul Hadi Awang malam tadi disifatkan sebagai satu ‘Kesepakatan Ahzab’ untuk porak perandakan negara, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad.

Menurutnya, jelas sekali pertemuan dua pemimpin berkenaan dalam satu pakatan yang boleh menjatuhkan kerajaan.

“Pakatan ini bolehlah saya namakan ‘Kesepakatan Ahzab’ kerana ianya kesepakatan untuk memporak perandakan negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah,” katanya seperti dilaporkan Harapan Daily.

Beliau berpendapat, langkah Abdul Hadi yang juga Presiden Pas dan Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri itu akan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas dan usaha memulihkan ekonomi negara dari  krisis ekonomi dunia terjejas teruk.

Namun, katanya, mereka berdua tidak peduli kesannya terhadap negara kerana hanya mementingkan kuasa.

“Demi kepentingan bersama dan keinginan berkuasa, musuh kini menjadi kawan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai gambar tular di media sosial menunjukkan sesi pertemuan di antara Dr Mahathir dengan Abdul Hadi dipercayai di kediaman Dr Mahathir yang turut disertai beberapa pemimpin Pas dan sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

“Bagi saya, matlamat pertemuan ini hanya satu, untuk mencapai hasrat bersama iaitu menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum lepas dan diperkenan oleh Agong.

“Kita tidak tahu apa pula nama projek mereka berdua kali ini. Yang pasti, kedua-duanya mahu usahakan agar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini dijatuhkan.

“Seorang mahu selamatkan kaum kerabat dan anak beranak yang terkait dengan Pandora Papers sambil yang seorang lagi tidak sempat puas kerana berada di tampuk kuasa dalam tempoh yang sekejap sahaja,” dakwanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *