MAHKAMAH Pilihan Raya Terengganu hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah kerana gagal hadir memberi keterangan perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang.
Ia bagi menyambung keterangan dalam pendengaran petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen itu.
Perintah dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya selepas peguam pempetisyen, Muhammad Amin Othman memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong.
“Pada 14 Mac, Hassan Abdul Ghani telah mengarahkan Mohd Nor untuk kembali ke mahkamah pada 16 Mac untuk menyambung semula keterangannya.
agaimanapun pada pagi 16 Mac (hari ini), Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah.
“Oleh itu, atas permohonan peguam pempetisyen, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor.
“Perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Marang akan disambung pada 19 Mac,” kata Muhammad Amin memetik laporan Malaysiakini.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 12 Februari lalu menolak bantahan awal yang dikemukakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan petisyen keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang yang difailkan calon Barisan Nasional.
Hassan kemudian menetapkan 6 hingga 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan penuh bagi petisyen berkenaan.
Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen membabitkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.