‘Tok wan’ badan berbulu riba sambil memandu… Insiden budak 6 tahun bawa Vios ada ‘plot twist’, tular audio dakwa wujud unsur mistik

KETIKA semua pihak masih tertanya-tanya tentang keupayaan seorang kanak-kanak berusia enam tahun memandu kereta sejauh 2.5 kilometer sebelum terbabas, timbul pula cerita misteri di sebalik insiden itu.

Berdasarkan rakaman skrin audio perbualan daripada aplikasi WhatsApp yang tular sejak Rabu malam, kanak-kanak lelaki dipercayai sebagai individu yang memandu kenderaan jenis Toyota Vios warna putih milik bapanya itu menceritakan semula apa yang terjadi.

“Dapat cerita daripada orang kampung yang rapat dengan mak budak ni. Yang bawa kereta tu orang tua berbadan besar, hitam dan berbulu dan abang (panggilan untuk kanak-kanak lelaki) duduk atas riba dia.

“Pakcik duduk sebelah dan seorang lagi duduk belakang. Pakcik tua itulah yang ajar (pandu kereta). Lepas tu ajak pergi kedai tok. Aduh seram eh,” demikian keterangan daripada seorang individu menerusi forward text ke grup WhatsApp sebuah keluarga.

Mengiringi keterangan berkenaan adalah rakaman audio perbualan antara kanak-kanak lelaki dan seorang wanita.

Jelas kedengaran wanita berkenaan bersoal jawab dengan kanak-kanak itu bagi mengetahui cerita yang berlaku daripada perspektifnya.

Dalam ceritanya dalam nada tenang, dia berkata beberapa individu yang dikatakan turut sama berada di dalam kereta berkenaan mengajaknya untuk pergi bermain game (permainan video).

Selain itu budak lelaki tersebut berkata individu yang dipanggil ‘tok wan’ menerusi ceritanya dikatakan tidak kacak, badan berbulu dan mempunyai suhu yang panas.

Dalam rakaman sama yang dikongsikan di TikTok @daichidontcare, seorang individu lelaki yang tidak dapat dipastikan identitinya mengulas tentang kejadian berkenaan.

Jelasnya, menjadi satu kehairanan apabila kanak-kanak tersebut mampu untuk memandu kereta sejauh 2.5km.

“Tu yang lepas kita dapat tahu, (jadi) pening. Andai kata dia tekan minyak belah (langgar) dinding rumah… itu biasalah.

“Ni dia boleh keluar daripada rumah masuk gear dan turunkan handbrake (brek tangan). Kita pun terfikir macam mana dia reverse (undur kereta). Dia corner balik, keluar untuk masuk ke jalan raya.

“Lagi satu, handbrake tu kalau betul tarik, setakat tangan budak-budak, tak boleh bawa turun. Keras! Tapi apabila kita renung balik, kejadian (nak jadi) pun dekat titi cawang tu juga… tak kira macam mana pun,” ujar lelaki tersebut menggunakan loghat utara.

Menerusi kejadian kira-kira pukul 11.25 malam, Selasa, seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga, Titicawang, Langkawi di Kedah.

Kejadian itu mengejutkan penduduk kampung yang menyelamatkan mangsa apabila mendapati kereta jenis Vios itu dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adiknya berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kereta berkenaan dipandu sejauh kira-kira 2.5 kilometer oleh kanak-kanak berkenaan dari rumahnya dari arah Ulu Melaka ke NyiorChabang sebelum terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang lampu.

Akibat kejadian itu, pemandu luka pada dagu manakala adik lelakinya tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • mStar

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *