COLOMBO: PM Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri dari kediaman rasminya pada Sabtu (9 Jul) bersetuju untuk meletakkan jawatan pada minggu depan, kata Speaker Parlimen Mahinda Abeywardana. 

“Untuk memastikan peralihan secara aman, presiden berkata beliau akan mengundurkan diri pada 13 Julai,” kata Encik Abeywardana dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen. “Oleh itu saya meminta orang ramai agar menghormati undang-undang dan memastikan keamanan.”

Askar dan polis tidak dapat menahan orang ramai yang menyerbu masuk ke kediaman Presiden Rajapaksa di Colombo pada Sabtu menuntut beliau meletakkan jawatan, sedang kemarahan orang ramai memuncak terhadap krisis ekonomi terburuk yang melanda negara itu dalam tujuh dekad.

Penunjuk perasaan juga memaksa masuk ke Kementerian Kewangan dan pejabat presiden.

Encik Rajapaksa meninggalkan kediaman rasminya pada Jumaat sebagai langkah keselamatan, dengan tentera melepaskan tembakan ke udara untuk membantunya menyelamatkan diri.

Penunjuk perasaan juga memecah masuk rumah privet Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe. Beliau juga telah dipindahkan ke lokasi yang selamat, kata sumber pemerintah kepada Reuters. 

Encik Wickremesinghe sebelum itu berkata beliau sedia meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pemerintah perpaduan baru, kata pejabatnya pada Sabtu.

Encik Wickremesinghe mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti politik mengenai langkah yang perlu diambil berikutan pergolakan itu.

“Wickremesinghe telah memberitahu pemimpin parti bahawa beliau sedia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan memberi laluan kepada pemerintah semua parti untuk mengambil alih,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Pemimpin beberapa parti pembangkang juga menggesa agar Encik Rajapaksa meletakkan jawatan.


“Presiden dan perdana menteri mesti meletakkan jawatan serta-merta. Jika itu tidak berlaku ketidakstabilan politik akan bertambah buruk,” kata pemimpin Parti Kebebasan Sri Lanka dan mantan presiden Maithripala Sirisena, sebelum Encik Wickremesinghe menawarkan untuk meletak jawatan.

Speaker Parlimen Mahinda Yapa Abeywardena dalam surat kepada Encik Rajapaksa berkata beberapa keputusan telah dibuat dalam mesyuarat pemimpin parti – termasuk presiden dan perdana menteri meletakkan jawatan secepat mungkin dan parlimen bersidang dalam tempoh tujuh hari untuk memilih pemangku presiden.

“Di bawah pemangku presiden itu, parlimen sekarang boleh melantik perdana menteri baru dan pemerintah sementara,” menurut surat yang dikeluarkan pejabat Speaker.

“Selepas itu dalam masa yang ditetapkan pilihan raya boleh diadakan untuk rakyat memilih parlimen baru,” tambahnya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.