Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa majoriti ahli Parlimen menolak pengisytiharan darurat dan penggantungan sesi Dewan Rakyat.
Beliau mendakwa, seramai 114 atau 115 ahli Parlimen menolak kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran keputusannya mengisytiharkan darurat tersebut.
Malah katanya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga sedang membincangkan mengenai perkara itu.
“Yang nyata sekarang dan tidak boleh disangkal adalah jumlah setakat ini yang menolak pandangan Perikatan Nasional melibatkan perkara besar berkenaan darurat dan penggantungan Parlimen ini ditolak oleh majoriti ahli Parlimen.
“Dan sekarang GPS Sarawak sedang membincangkan…saya tidak tahu keputusan tapi kalau ini yang berlaku maknanya yang komited betul untuk mendukung darurat itu mungkin tak sampai 90 ahli Parlimen atau jauh kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan pada program Bicara Negarawan anjuran Majlis Profesor Negara secara maya, hari ini.
Dalam pada itu Anwar yang juga Ketua Pembangkang sekali lagi menegaskan bahawa beliau mempunyai cukup sokongan daripada ahli Parlimen untuk meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri,
Katanya, bagaimanapun ketika ini beliau menunggu ihsan daripada Yang Dipertuan Agong berhubung perkara itu.