DATUK Seri Anwar Ibrahim mendakwa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong calon Perdana Menteri ke-10 malam ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memaklumkan ahli-ahli Parlimen BN akan bermesyuarat sekali lagi.
Difahamkan mesyuarat tersebut akan berlangsung di ibu pejabat Umno malam ini.
Beliau seterusnya menjemput orang ramai mengikuti perkembangan mesyuarat tersebut.
“Ikuti perkembangan terkini susulan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, WTC.
“Difahamkan, ahli-ahli BN akan bermesyuarat sekali lagi dan menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong calon Perdana Menteri ke-10,” tulisnya.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN itu dilapor diadakan sekali lagi selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen gabungan itu menghadap baginda esok.
Pagi tadi, Ahli Parlimen BN selesai bermesyuarat membincangkan isu pembentukan kerajaan dan mengambil keputusan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.