Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-DAP) Kota Laksamana, Low Chee Leong mengesahkan kemungkinan bakal berlaku undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 25 Julai.

Tanpa mengulas lanjut, Low yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Melaka itu dipetik Utusan sebagai mendakwa wujud desas-desus mengataka ada pihak lain kini sibuk mendesak untuk mengambil-alih jawatan KM Melaka daripad Sulaiman.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sekali lagi menafikan laporan bahawa akan berlaku undi tidak percaya terhadap Sulaiman.

Dalam satu kenyataan malam tadi, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara menyifatkan laporan FMT bahawa politik Melaka kembali bergolak, berniat jahat bertujuan mengganggu kestabilan politik Melaka.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya artikel bahawa politik Melaka kembali bergolak. Artikel tersebut berniat jahat serta bertujuan mengganggu gugat kestabilan politik Melaka.

“Pastinya rakyat Melaka yang telah memilih, mahu manifesto ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ diteruskan. Selaku Pengerusi BN Negeri Melaka, saya tidak akan sekali-kali mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Melaka,” katanya yang juga Exco perindustrian, pelaburan dan pembangunan usahawan Melaka.

Rauf memberi jaminan tidak akan ada sebarang tindakan mengkhianati mandat rakyat seperti undi tidak percaya akan dilakukan.

“Tuduhan seperti ini bukanlah pertama kali dilemparkan terhadap kepimpinan negeri. Ia adalah mainan pembangkang yang cemburu dengan kejayaan yang dicapai setelah BN menerajui Melaka.

“Suka saya menegaskan bahawa barisan pemimpin kerajaan negeri Melaka tidak terkesan dengan sebarang tohmahan yang bersifat spekulasi serta tidak berasas ini,” katanya.

Semalam, FMT memetik laporan Sin Chew Daily mendakwa Sulaiman mungkin berdepan undi tidak percaya pada sidang DUN yang akan bermula 25 Julai depan.

Akhbar itu memetik sumber sebagai berkata Rauf berhasrat mengambil alih jawatan daripada Sulaiman.

Rauf juga sebelum ini dikaitkan dengan usaha merampas jawatan itu, tetapi beliau sudah beberapa kali menafikannya.

Pertelingkahan berhubung pelantikan Sulaiman sebagai KM Melaka tercetus selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November tahun lalu.

Malah, tanpa menunggu pagi ini, ADUN Lendu itu tergesa-gesa mengangkat sumpah jawatan KM ke-13, kira-kira jam 1 pagi 21 November lalu.

Pada 21 Mei lalu, Sulaiman menafikan melepaskan jawatannya selepas seorang ketua bahagian UMNO mendakwa ADUN Lendu itu dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan. Agenda Daily

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.