Sebanyak 120 kerusi Parlimen menjadi sasaran gagasan politik baharu yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ditandingi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Pejuang itu melancarkan gagasan yang akan dikenali sebagai Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini dan menegaskan ia berteraskan agenda Melayu serta Islam sebagai wadah utama gabungan politik tersebut.

Dr Mahathir berkata, nama itu dipilih kerana ia gambaran suatu perjuangan yang cintakan tanah air.

Pengumuman itu dibuat Dr Mahathir pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.

Dr Mahathir berkata, ia bukan bermakna gerakan itu bersifat perkauman sebaliknya ia untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini.

“Untuk lawan parti Melayu kalau bukan juga parti Melayu orang Melayu tidak akan menyokong.

“Harap akan dapat sokongan daripada rakyat bukan kerana mereka menjadi ahli parti sebaliknya mereka adalah orang Melayu yang curiga dengan masa depan mereka,” katanya pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dr Mahathir yang juga pengerusi penaja gagasan baharu itu, berkata, asas penubuhan GTA itu bukan bertujuan merampas harta masyarakat bukan Melayu atau menyekat mereka daripada berusaha untuk mendapatkan kekayaan, sebaliknya ia berusaha untuk memperbetulkan ekonomi masyarakat Melayu.

Berikutan itu, katanya, GTA itu menjemput semua orang Melayu yang bimbang dengan masa depan mereka, untuk menyertai atau menyokong gerakan itu.

Katanya, pihaknya akan mendaftarkan nama Gerakan Tanah Air dalam masa terdekat dengan nama yang dipersetujui itu.

Selain Dr Mahathir, jawatankuasa penaja Gerakan Tanah Air turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Bagaimanapun, nama Naib Presiden, Bendahari dan Ketua Penerangan akan diumumkan kemudian.

Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya, dilantik sebagai Ketua Setiausaha.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau yakin mendapat sokongan masyarakat Melayu terutama UMNO hanya mampu menang 35 peratus daripada kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *