Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengundang kecaman kesatuan wartawan selepas dia tidak berpuas hati dengan siaran Facebook media yang memetik penganalisis sebagai menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan naik dalam beberapa bulan ini.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berkata laporan Berita Harian mengenai isu itu merupakan laporan lazim yang biasa dibuat oleh agensi dan portal media.

Setiausaha agung NUJM Teh Athira Yusof dalam satu kenyataan berkata sudah menjadi kelaziman juga buat agensi media menguar-uarkan laporan mereka di media sosial.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab berhubung media, Fahmi seharusnya maklum dengan amalan lazim ini di mana media akan membuat laporan berdasarkan pandangan dan ramalan pakar dalam industri.

“Tindakan Fahmi melekehkan laporan Berita Harian, yang disiarkan dan dipautkan ke Facebook, dan kenyataannya menyifatkan laporan itu sebagai penipuan boleh memberi persepsi negatif terhadap media,” katanya.

Terdahulu, Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai membidas siaran Facebook Berita Harian Online yang tertera kenyataan “OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai”.

Dalam kenyataan di Facebook, Fahmi berkata siaran Facebook Berita Harian Online itu menjadi fitnah terhadap Bank Negara dan kerajaan.

“Saya akan jumpa pengurusan BH hari ini, insya-Allah,” kata menteri itu.

Pada ruangan komen siaran Facebook itu, Fahmi turut menegaskan bahawa rencana yang dipautkan pada siaran itu adalah pandangan penganalisis dan bukannya keputusan bank negara ataupun kerajaan.

Berita Harian Online wajib betulkan dan jelaskan,” katanya lagi.

Sementara itu, NUJ Semenanjung Malaysia mempersoalkan kebebasan media yang dijanjikan kerajaan baru.

“Di mana kebebasan media yang dijanjikan kerajaan baru jika menteri media melabel laporan oleh media tempatan mengenai ramalan kewangan sebagai ‘fitnah’?

NUJM berharap menteri berkenaan boleh lebih memahami laporan yang dihasilkan media tempatan yang sebagai sumber berita yang boleh diharap, dipercayai dan kredibel,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kumpulan hak wartawan dan pengamal media, Gerakan Media Merdeka (Geramm Malaysia) menyifatkan tindakan Fahmi secara terbuka melabelkan siaran berkenaan sebagai “fitnah” adalah bentuk ancaman terhadap kebebasan media.

Kata Geramm, tindakan itu juga tidak selari dengan janji-janji kebebasan media yang sering diucapkan sebelum ini.

“Sebaliknya, menteri yang turut merangkap jurucakap kerajaan, boleh mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjelaskan sebarang laporan dalam mana-mana media sekiranya dianggap perlu.

“Perlu diingatkan sebarang kenyataan terbuka dari pihak menteri terutama di media sosial boleh membuka ruang untuk serangan peribadi (doxxing) terhadap media atau wartawan berkenaan,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *