PETALING JAYA – Empat pelajar berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh masuk sebuah bank di Jalan Ipoh menghala ke Sentul, di sini awal pagi tadi.

Akibat rempuhan kuat itu, dinding simen bank mengalami kerosakan manakala dinding kaca yang menempatkan sejumlah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) turut pecah.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.13 tengah malam, kesemua mangsa yang berusia 18 tahun dan belajar di kolej yang sama itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis menerima maklumat dari Gerakan Trafik Kuala Lumpur memaklumkan terdapat sebuah MPV jenis Toyota Avanza telah merempuh bank berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan datang dari arah Publika dan mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Kondominium Kiara Mas untuk balik ke rumah.

“Sebaik tiba di Jalan Ipoh berhampiran lampu isyarat Hotel Cairnhill, secara tiba-tiba kereta yang dipandu telah hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.

“Ia kemudiannya melanggar tiang lampu isyarat lalu merempuh pintu masuk bank tersebut yang berada berhampiran lokasi kejadian,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pemandu kereta yang merupakan seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian Evidential Breath (EBA) telah dilakukan terhadap wanita itu dan keputusanya adalah negatif (00mg/100ml) .

“Pihak pengurusan bank telah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit dan semakan mendapati lokasi kejadian sedikit berselekoh,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

▶️ KOSMO! ONLINE

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.