IPOH – Syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express memohon maaf atas tindakan kakitangannya yang mencampak barang pelanggan seperti dalam video yang tular di media sosial.
Pengurusan J&T Express Perak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook J&T Express Malaysia-Perak berkata, perilaku yang ditunjukkan ketika mengagihkan bungkusan adalah secara ganas dan tidak menyenangkan.
“Sekali lagi, J&T Express memohon maaf atas kejadian tidak diingini dan akan sedaya upaya meningkatkan perkhidmatan mutu kami,” tulis pentadbir Facebook itu dalam kenyataan yang dimuat naik pada Ahad.
Menerusi kenyataan sama, syarikat kurier itu juga menjelaskan bahawa kejadian terbabit tidak ada kena mengena dengan tindakan mogok atau bayaran komisen.
“Segala perkara yang berlaku adalah satu salah faham semata-mata dan perkara menyebutkan bahawa pekerja J&T Express mogok dan komisen adalah tidak benar,” katanya.
Mereka menegaskan bahawa tidak timbul isu dalaman atau pemotongan gaji antara syarikat dengan pekerja dan mereka juga tidak ada melakukan tindakan mogok.
“Kami sekali lagi memohon maaf kerana telah menjejaskan nama syarikat dan barang-barang rakyat Malaysia.
“Kami sedaya upaya akan ‘clear’ (membereskan) dan hantar barang secepat mungkin,” katanya.