Noh Omar nampaknya juga menyindir Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas namanya tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Penyandang kerusi Parlimen Tanjung Karang itu juga terkilan dengan keputusan Zahid yang tidak meletaknya bertanding semula, ia seakan nada sama diluahkan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang hanya diberikan kerusi tidak boleh menang pada saat akhir.

“Tak apa, saya reda. Cuma saya sedih, diterajang begitu. Tetapi benda sudah berlaku, saya tidak lari daripada perjuangan. Tetap bersama BN (Barisan Nasional),” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Khairy hampir menerima nasib hampir sama dengan Noh, namun diberikan kerusi selepas berunding dengan MIC yang memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Sungai Buloh.

Menurut Noh lagi, keputusan penyingkirannya sebagai calon adalah sesuatu yang tidak dijangkanya sama sekali.

“Bila kita pilih calon bertanding, saya lihat Khairy Jamaluddin, Megat Zulkarnain (Datuk Megat Zulkarnain Omar Din) dan ramai lagi mampu merampas semula Selangor.

“Tetapi bila saya susun kerusi calon, rupa-rupanya kerusi saya sendiri ‘dicuri’,” katanya lagi.

Noh antara nama yang digugurkan daripada senarai calon bersama beberapa lagi menteri kabinet termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tindakan mengejutkan itu dikaitkan dengan keretakan dalam UMNO, antara Zahid dengan Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Noh digantikan dengan Ketua Wanita Umno Tanjung Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof.

Dalam perkembangan lain, Zahid mengesahkan Menteri Kesihatan itu sepatutnya tiada tempat pada PRU-15 ini kerana Khairy adalah ahli UMNO dalam Bahagian Rembau dan kini Ketua UMNO bahagian itu ialah Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Beliau patut berterima kasih pada saya sebab beri peluang bertanding di Sungai Buloh,” kata Zahid berhubung calon BN Parlimen Sungai Buloh itu menurut laporan media.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *