Sedarkah kita sudah setahun virus Covid-19 ‘hadir’ di negara kita ini? Tepatnya pada tarikh 25 Januari tahun lalu apabila mantan menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad memaklumkan kes pertama 2019-nCoV.
Kes pertama ini membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020. Dalam usaha menangani virus yang baru ‘bertamu’ di negara ini, kerajaan terdahulu pula jatuh dek ‘permainan’ kuasa.
Jika dikenang kembali peristiwa itu, sewajarnya ia tidak berlaku memandangkan kerajaan ketika itu berusaha menangani situasi pandemik yang telah melanda dunia, manakala rakyat pula bergelut dengan situasi yang tidak menentu, bilakah akhirnya semua ini.
Pada masa yang sama, ahli politik terus bercakaran sesama mereka tanpa ada rasa malu dengan rakyat apalagi dengan Yang Maha Pencipta, membuat pelbagai tuduhan dan persepsi tanpa mengutamakan kebajikan rakyat yang terus terhimpit dan tersepit.
Namun, ia terjadi juga hingga kes jangkitan virus ini semakin hari semakin meningkat pada akhir tahun 2020 dengan angka yang menggusarkan sekalian rakyat jelata.
Mana menteri kesihatan?
Persoalan yang terus berlegar sehingga hari ini dalam kalangan rakyat, ke mana menteri kesihatan dalam kerajaan hari ini? Dan sampai bila ketua pengarah Kesihatan perlu memikul beban itu?
Kes mendadak terus berlaku di awal tahun 2021 ini. Peningkatan kes dan kewujudan lebih banyak kluster baharu membuatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melaksanakan semula PKP. Walaupun sebelum ini pernah dilaksanakan, ia memberikan kesan yang sangat hebat kepada rakyat untuk mendepaninya.
Isu kebajikan rakyat yang masih belum dapat ditangani dengan sewajarnya, apalagi berkaitan pendidikan dan ekonomi yang tidak diatasi dengan sebaiknya.
Sudah sampai masa untuk kepimpinan negara bermuhasabah dengan amanah yang diberikan untuk mentadbir dan mengurus negara serta berkhidmat untuk rakyat dengan sebaik-baiknya. Jika amanah ini disia-siakan, dibimbangi negara ini akan jauh daripada rahmat Allah dan berada di ambang kehancuran, nauzubillah.
Kita berdoa dengan penuh harapan kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 dan segala kekusutan daripadanya segera berakhir. Moga kepimpinan negara akan lebih mengambil peduli segala yang terjadi kepada rakyat, bukan meneruskan percakaran politik sesama mereka yang mana rakyat menjadi mangsanya. Sedarlah!
ATRIZA UMAR berkhidmat dengan Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia.