Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah melakukan siasatan awal, berhubung sebuah video tular seorang perempuan dipercayai sengaja menghina kesucian Islam disebuah kelab malam.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 yang boleh membawa kepada denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Polis Di Raja Malaysia (PDRM) juga difahamkan telah melakukan siasatan melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.

“Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalaludin berkata, DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta merta.

Tegasnya, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegitu.

“Saya berharap insiden sebegini tidak akan berulang lagi di mana-mana premis yang berada dalam Wilayah Persekutuan mahupun di seluruh negara.

“Justeru, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, disamping laporan orang awam juga sentiasa diperlukan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial klip video memaparkan seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.